Awal



Dilahirkan pada hari Selasa 20 Julai 1920 di rumah Tengku Jusoh B. Sultan Ahmad iaitu Tengku Panglima Perang Pahang yang pertama di Kampung Pekan Lama, Pekan, Pahang. Merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup En. Wan Talib B. Wan Sulong dengan Sadiah Bt. Minal yang mempunyai tiga orang cahayamata iaitu Wan Mariam, Wan Bakar dan Wan Gayah. Beliau mempunyai dua orang lagi saudara tiri yang tua iaitu hasil perkahwinan Bondanya yang terdahulu. Pada waktu beliau dilahirkan, Ayahandanya (Wan Talib) bekerja sebagai ‘H.H Boy’ kepada Sultan Mahmud dan telah meninggal dunia pada tahun 1948 manakala Bonda beliau telah meninggal dunia pada tahun 1939. Mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Pekan selama tujuh tahun. Tiga tahun menduduki darjah 5 dengan tiga kali mengambil peperiksaan dan lulus dalam ketiga-tiga peperiksaan tersebut.



Menamatkan zaman persekolahan dalam tahun 1937 ketika berusia 17 tahun. Telah ditawarkan kerja sebagai Pelayan Pejabat di Pejabat Daerah Pekan dan ditugaskan sebagai “penarik kipas angin” kepada Pegawai Daerah yang berbangsa Inggeris. Oleh kerana semangat Penentang Penjajah yang ada padanya, beliau telah menolak tawaran kerja tersebut dengan alasan tidak mahu bekerja bawah seorang Penjajah.


Keputusan tersebut telah mendapat tentangan dari keluarga kerana pada waktu tersebut makan gaji dianggap tinggi tarafnya di mata masyarakat. Tetapi beliau tetap dengan keputusannya, malah lebih rela bekerja sebagai buruh tukang kayu daripada bekerja di bawah Pegawai Inggeris. Pada masa itu juga beliau telah menyertai Pasukan Sukarelawan FMSV yang berpusat di Pekan.