Pertanian



Pada akhir tahun 1959, beliau telah berpindah ke Batu 4 ½ Jalan Kuantan-Gambang. Di sini beliau tinggal di rumah Wan Hassan B. Wan Endut dan isterinya Wan Gayah Bt. Wan Talib (adik beliau) dengan menyambung ruang tambahan sebagai tempat tinggal. Ketika itu, beliau sekali lagi bekerja sebagai tukang kayu bersama-sama dengan En. Sulaiman (Ketua Kampung Gudang Rasau waktu itu) dengan pendapatan $3.50 sehari. Diantara bangunan yang pernah dibina oleh beliau termasuklah Bangunan yang menempatkan Pejabat YB. Dato’ Haji Abd Rashid B. Haji Abd Rahman (ADUN Paya Besar) di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang (berhampiran Simpang Pekan).

Minat beliau dalam pertanian masih diteruskan di mana atas usaha beliau yang bersungguh-sungguh itu, akhirnya berjaya mendapatkan tapak untuk mendirikan “Rumah Peladang” di Batu 6 Jalan Kuantan-Gambang. Bangunan tersebut digunakan sebagai pusat berkumpul para petani di Kawasan Paya Besar bagi membincang dan merancang setiap projek pertanian yang dijalankan agar lebih tersusun.
Sebagai langkah pertama beliau dan kumpulannya seramai 30 orang telah meneroka satu kawasan seluas 50 ekar di Batu 6 Jalan Kuantan-Gambang untuk dijadikan kawasan penanaman padi. Oleh kerana keadaan tanah yang tidak sesuai maka projek tersebut dihentikan dan beliau mula meninjau beberapa kawasan lain hingga ke Batu 7 (sekarang Kampung Seri Damai) Batu 10 (sekarang Kampung Seri Mahkota) dan akhirnya Batu 9 (sekarang Kampung Jaya Gading).

Bermula tahun 1960, maka bermulalah satu sejarah baru dalam hidup beliau dalam usaha membuka satu kawasan yang mahu dijadikan sebuah Perkampungan Pertanian yang tersusun yang sekarang dinamakan "KAMPUNG JAYA GADING".