Pilihanraya




Kenangan manis di sepanjang perjalanan politik beliau adalah penglibatan dalam penamaan calun DUN Paya Besar dalam tahun 1974. Pada waktu itu, YH. Dato’ Haji Abd Rashid (Ketua Pemuda UMNO Kuantan) telah dicalunkan oleh dua Bahagian iaitu Bahagian Pekan mencalunkan YH. Dato’ Haji Abd Rashid bertanding di DUN Ibam manakala Bahagian Kuantan mencalunkan ke DUN Paya Besar. 


Bagi mendapatkan penjelasan siapakah yang akan bertanding di DUN Paya Besar, beliau serta Dato’ Setia Penggawa Mat Haji Rani (Penghulu Kuantan) dan Tuan Haji Abdullah B. Awang Hol telah ke Kuala Lumpur bersama-sama dalam Rombongan UMNO Pahang yang akan bertemu Tan Sri Hamzah Abu Samah bagi merayu agar Dato’ Haji Abd Aziz B. Ahmad (ketika itu Menteri Besar Pahang) dikekalkan di DUN Baserah. Waktu itu Tan Sri Hamzah Abu Samah mewakili YAB Tun Haji Abd Razak dalam menentukan calun yang akan bertanding di Negeri Pahang.


Kesempatan itu digunakan oleh beliau untuk bertanya siapakah calun di DUN Paya Besar. Tan Sri Hamzah Abu Samah menyatakan calun di DUN Paya Besar ialah En. Rosdi Mat Aris iaitu calun dari Parti PAS (waktu itu PAS dalam Barisan Nasional) atas alasan Kawasan Paya Besar merupakan kubu kuat PAS.


Manakala YH. Dato’ Haji Abd Rashid pula dicalunkan ke DUN Ibam. Atas penjelasan tersebut beliau telah membantah sekeras-kerasnya dan tetap menuntut YH. Dato’ Haji Abd Rashid atau sekurang-kurang calun dari UMNO bertanding di DUN Paya Besar dengan alasan Kawasan Paya Besar sebenarnya adalah kawasan UMNO dengan beberapa bukti kerana PAS hanya bergerak aktif pada sekitar tahun 1957 hingga 1959 sahaja. Beliau juga menegaskan sekiranya tuntutan beliau tidak diterima maka enam Cawangan UMNO dalam Kawasan Paya Besar akan menentang calun Barisan Nasional dan akan menyokong calun bebas yang telahpun disediakan.


Akhirnya keputusan dibuat dan YH. Dato’ Haji Abd Rashid diletakkan sebagai calun di DUN Paya Besar. Dalam pilihanraya 1974, 1978 dan 1982, beliau telah dilantik sebagai Wakil Calun kepada YH. Dato’ Haji Abd Rashid B. Haji Abd Rahman yang bertanding di DUN Paya Besar.