Kemasyarakatan



Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Pasukan Sukarelawan FMSVF Pekan telah ditugaskan ke Batu 9, Jalan Kuantan-Gambang. Di sini beliau telah ditugaskan sebagai MDC di Kawasan Kediaman Tentera (Camp) sebagai penangkap anak-anak nyamuk (pembelot). Tiga bulan selepas penaklukan Jepun, beliau telah kembali ke Pekan dan bekerja sebagai tukang kayu dengan Tentera Jepun dalam tugasan membaiki Jambatan dari Pekan ke Nenasi.


Setelah Jepun kalah, beliau bekerja pula dengan PWD (JKR) Pekan. Semasa bekerja dengan PWD Pekan, beliau mula berjinak-jinak dengan badan-badan amal dan sebagai langkah permulaan pada tahun 1949 beliau menduduki Jawatankuasa Murid-Murid Tua Sekolah Kebangsaan Melayu Pekan bersama-sama dengan Cikgu Ahmad (Ahli Dewan Negeri Pekan pertama), Dato’ Mokhtar Haji Daud (Ahli Dewan Negeri Pekan kedua), Dato’ Ibrahim Haji Arshad (Ahli Dewan Negeri Rompin pertama), En. Ali Sharif (bekas Ahli Parlimen Kuantan) dan Puan Latifah Ghafar (bekas Ahli Dewan Negeri Baserah). Pada waktu tersebut beliau juga menyertai Pasukan Sukarelawan ‘Kampung Guard’.