Peladang


Sebagai pemimpin kepada petani di sini beliau sentiasa mendampingi ‘ Peladang Pahang Timur’ sebuah badan yang diawasi oleh Jabatan Pertanian Pahang Timur yang berpusat di Paya Besar dalam memberi khidmat nasihat di bidang Pertanian. Keaktifan beliau dalam bidang pertanian telah menyenaraikan beliau sebagai peserta dalam Lawatan Sambil Belajar ke Taiwan pada Mac 1966 selama dua minggu.



Turut sama dalam lawatan tersebut ialah YB. Dato’ Haji Abd Rashid B. Haji Abd Rahman (waktu itu Juruteknik Pertanian). Hasil dari lawatan tersebut beliau mengembangkan lagi kegiatan pertanian beliau hinggalah ada cadangan untuk menubuhkan unit-unit peladang bagi memantapkan lagi aktiviti pertanian waktu itu. Peluang ini digunakan dan beliau berusaha menubuhkan Unit Peladang Jaya Gading dan apabila ditubuhkan beliau telah dipilh menjadi Ketua Unit.


Dalam tahun 1968, beliau dan rakan-rakan telah menubuhkan Persatuan Peladang Daerah Kuantan (kini Pertubuhan Peladang Kawasan) dan beliau telah dipilih sebagai Pengerusi yang pertama selama enam tahun. Persatuan Peladang ini merupakan Persatuan Peladang yang pertama ditubuhkan dalam Negeri Pahang. Seterusnya beliau dan rakan-rakan telah menubuhkan Persatuan Peladang Negeri Pahang dan beliau sekali lagi dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Peladang Negeri Pahang yang pertama. Beliau telah memegang jawatan ini selama enam tahun. Semasa beliau menjadi Pengerusi Persatuan Peladang Negeri Pahang,



Bangunan Peladang Negeri Pahang (kini Wisma Puriwirawan) dirancang pembinaannya. Di peringkat kebangsaan, beliau merupakan AJK Penaja Penubuhan Persatuan Peladang Kebangsaan yang ditubuhkan di Universiti Kebangsaan dalam tahun 1972. Beliau telah berkhimat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Peladang Kebangsaan selama 6 tahun. Waktu tersebut beliau turut terlibat sama dalam merancang Bangunan Wisma Peladang Kebangsaan di Kuala Lumpur.