Home Guard



Apabila pasukan ‘Kampung Guard’ dibubarkan dan diganti dengan Pasukan Home Guard di Pekan, beliau telah menyertainya dalam pasukan yang pertama pada 12 Oktober 1951. Selepas menjalani ‘Kursus PSI Home Guard’ pada tahun 1952 di Batu Hitam, Kuantan, beliau telah dilantik sebagai PSI (Sarjan) dan ditugaskan sebagai Jurulatih Kawad. Kemudian beliau dinaikkan ke Pangkat Ajutan (W.O.2). Pada awal tahun 1953 ketika berusia 33 tahun, beliau telah ditukarkan ke Lubok Paku. Dua tahun kemudian (1955) beliau telah ditukarkan pula ke Raub. Oleh kerana beliau ramai kenalan di Lubok Paku, maka beliau sering berulang-alik antara Raub dan Lubok Paku. Semasa di Raub, beliau juga sering ke Bentong sebagai Jurulatih Kawad. Pasukan Home Guard pimpinan beliau pernah bertempur dengan pengganas kominis di mana pasukan beliau telah berjaya membunuh 3 orang pengganas kominis.


Sebagai Ajutan dalam Pasukan Home Guard, beliau sentiasa mendampingi orangramai, maka timbul rasa keinsafan di hati untuk membawa pembaharuan kepada masyarakat petani. Oleh itu beliau telah berusaha membuka satu kawasan tanah kerajaan (secara permohonan) untuk dijadikan sebuah Perkampungan Pertanian yang tersusun di Lubok Paku.


Pada awal tahun 1957, beliau ditukarkan pula ke Temerloh dan dalam pertengahan tahun 1957 perkhidmatan beliau dalam Pasukan Home Guard ditamatkan. Oleh kerana minat dan semangat yang tinggi dalam pembelaan kaum petani beliau telah kembali semula ke Lubok Paku dan sama-sama menyertai kumpulan petani yang meneroka Kawasan Perkampungan yang dibukanya dulu. Pada 1 November 1957, oleh kerana minat yang mendalam dalam pertanian beliau menyertai Kursus Pertanian yang diadakan di di Pusat Pertanian Pekan. Dalam kursus selama sebulan itu beliau telah dilantik sebagai Ketua Peserta Kursus.