Keluarga



Telah mendirikan rumahtangga yang pertama pada tahun 1942 dengan Pn. Halimah Bt. Awang Kechik dan dikurniakan 3 orang cahayamata. Iaitu Wan Fatimah yang lahir pada 19 Ogos 1944, Wan Aziz lahir pada 30 Julai 1948 dan Wan Muhamad lahir pada 6 September 1951. Pada tahun 1957 apabila ditamatkan perkhidmatan dalam Pasukan Home Guard telah kembali ke Lubok Paku dan beliau telah bertemu jodoh untuk kali yang kedua dengan Pn. Mariam Bt. Daud. Manakala dalam tahun 1965 semasa di Kampong Jaya Gading, beliau telah mendirikan rumahtangga bagi kali yang ketiga dengan Pn. Esah Bt. Awang. Kediaman terakhir beliau ialah DU 8, Jalan Othman Din, Kampung Jaya Gading, Kuantan.



Pada tahun 1985, beliau masih aktif dalam Persatuan Peladang yang kini telah diubah kepada Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA). Selain bidang pertanian beliau juga bergerak aktif dalam persatuan-persatuan lain. Beliau telah mendaftar dalam Persatuan Bekas Perajurit pada 17 April 1960 (keahlian nombor 4). Dalam Persatuan Bekas Perajurit, beliau telah menjadi Jawatankuasa Peringkat Negeri Pahang selama enam tahun. Beliau juga pernah menyandang Jawatan Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Kuantan hingga tahun 1983, Naib Pengerusi PIBG SK Batu 8 (kini SK Fakeh Abd Samad), Naib Pengerusi PIBG SK Pengkalan Tentera. Pengerusi Jemaah Pengurus dan PIBG SMK Seri Mahkota dan juga AJK PIBG SMK Panching Selatan. Pada tahun 1985 SK Jaya Gading, Kg. Seri Damai telah dibuka dan beliau telah dilantik sebagai Jemaah Pengurus Sekolah. Beliau juga pernah menjadi Naib Pengerusi AJK Masjid Ai-Makmur, Kem Batu 10 Kuantan.

Di atas jasa kepada masyarakat, beliau telah dianugerahkan beberapa pingat sebagai penghargaan dan pengiktirafan khidmat beliau. Pingat GSM diatas khidmat semasa Zaman Darurat sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 50an. Pingat PPN di atas khidmat dalam bidang Pembangunan Masyarakat, Pingat PJK di atas khidmat dalam bidang Pertanian (kedua-dua diterima dalam tahun 1967). Pingat AMN di atas khidmat dalam bidang Politik pada tahun 1981.

Pada tahun 1988, beliau telah terlibat secara langsung dalam pergolakan arus Politik Negara ketika itu dan telah meninggalkan Parti UMNO. Bertitik tolak dari situ, aktiviti politik dan kemasyarakatan beliau semakin berkurangan dan dalam tahun 1990 beliau telah jatuh sakit dan terlantar di rumah. Dalam tahun 1991 telah dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan telah kembali ke Rahmatullah pada 7 September 1991 hari Sabtu jam 2.50 petang ketika berusia 71 tahun disebabkan komplikasi jantung dan buah pinggang yang gagal berfungsi. Jenazah beliau telah dibawa balik ke Kampung Jaya Gading pada lewat petang hari tersebut dan di sembahyangkan di Masjid lama Kampung Jaya Gading. Jenazah beliau telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Jaya Gading selepas tengah malam, juga pada hari tersebut. Al - Fatihah ...